[Muat Turun Artikel – Format PDF]
Dalam kepercayaan Syiah, selain daripada Imam 12, yang merupakan Imam yang didakwa dilantik berdasarkan nas, terdapat juga satu konsep yang dipanggil sebagai “Panjtan”, iaitu lima individu suci, Rasulullah s.a.w, Ali, Fatimah, Hasan dan Husain.
Kelima-lima mereka adalah insan suci yang boleh diseru dan boleh meminta pertolongan daripada mereka. Sebab itu, di kalangan mereka yang menyeru “Ya Ali Madad (Wahai Ali, tolonglah)”, “Ya Husain Madad (Wahai Husain, tolonglah)”.
Bagi masyarakat awam, mereka melihat perkara ini sebagai tiada apa-apa, sehingga jika ada di kalangan Sufiyah, Quburiyyah, Barelwi yang menyeru “Ya Rasulullah Madad”, mereka mengatakan tidak menjadi kesalahan. Malah mereka menyeru dengan berdoa “Ya Ghauth, Ya Abdul Qadir Jailani! Wahai wali Allah, tolonglah kami!”
Walhal di sebaliknya tersembunyi aqidah mereka yang menyeleweng. Antaranya ialah Ahli bait Rasulullah sallallahu Alaihi Wasallam itu hanya mereka sahaja. Maka dengan ini, isteri-isteri Baginda terkeluar dari senarai ahli bait.
Untuk menyatakan konsep ini mereka mencipta simbol yang menunjukkan lima individu ini adalah teras dalam akidah mereka.
Sangat malang kerana ada juga golongan sufi tertentu yang mengambil cara ini dengan membuat penyesuaian dengan meletakkan logo capal yang kononnya itu tanda mereka mengagungkan Rasulullah s.a.w.
Sesetengah pihak pula menganggap adanya keberkatan menjadikan lakaran seperti ini, sebagaimana simbol sufi dengan logo capal (manakala Syiah pula dengan simbol “Panjtan”).
Dilihat daripada beberapa aspek lain, terdapat kesamaan golongan Sufiyah karut ini dengan Syiah yang sering kali mencari kekeramatan pada kubur-kubur para imam dan wali.
Jika tidak dibendung kemungkinan besar umat Islam terjerumus dalam kesesatan sedikit demi-sedikit tanpa disedari.
Islam agama Tauhid tidak memerlukan sebarang simbol dan logo. Islam adalah agama penyerahan diri kepada Allah dengan mengikuti jejak langkah Rasulullah s.a.w.
Disaring dari –
https://www.facebook.com/muhammadhanief.awangyahaya/posts/2395387907170684