Kisah Sebenar Fatimah dan Tuntutan Tanah Fadak


Ini adalah salah satu daripada penjelasan-penjelasan untuk menghilangkan keraguan dalam memahami hadith. Kadang kala apa yang diriwayatkan ditokok tambah dengan maksud tertentu oleh mereka yang berniat tidak baik terhadap Islam.

Perkara sebegini kadang-kadang tidak disedari oleh umat Islam yang mana boleh mengakibatkan salah faham dan fitnah kepada keluarga Nabi s.a.. dan para Sahabat. Sebagai umat Islam yang berpegang kuat kepada al-Quran dan hadith maka seharusnya kita memepertahankan nama baik keluarga dan Sahabat-sahabat Nabi s.a.w.

Dibawakan di bawah ini  kisah bohong dan rekaan golongan  Syiah tentang perebutan tanah Fadak yang bertujuan untuk memfitnah Sahabat-sahabat rhum,  diikuti dengan penjelasan  serta kisah sebenar yang berlaku.

Kisah Bohong Dan Dongengan Syiah

Ringkasnya, apa yang Syiah gambarkan dalam kisah Fatimah rha Menuntut Tanah Fadak Daripada Abu Bakar adalah pertelagahan antara Fatimah r.ha dan Abu Bakar as-Shiddiq r.a disebabkan oleh keengganan Abu Bakar memberikan tanah tersebut kepada Fatimah.

Dalam kisah tersebut Syiah mendakwa tanah Fadak adalah milik Fatimah semenjak sebelum kewafatan Rasulullah s.a.w lagi kerana Baginda telah memberikan kepadanya sebelum kewafatan Baginda. Padahal dakwaan tersebut tidak benar dan  disangkal menerusi ayat al-Quran dan dikuatkan lagi dengan hadith sahih riwayat Imam al-Bukhari.  Keengganan Abu Bakar menyerahkan Tanah Fadak kepada Fatimah digambarkan oleh Syiah sebagai sifat tidak adil dan tamaknya Khalifah Abu Bakar terhadap  harta.

Dalam kisah tersebut juga digambarkan tercetus perbalahan yang dahsyat antara Fatimah puteri Rasulullah s.a.w dengan Khalifah yang pertama Abu Bakar as-Shiddiq r.a. sehingga disebutkan Fatimah enggan bercakap dengannya sehingga beliau meninggal dunia. Sila rujuk artikel berkaitan  untuk maklumat tambahan  Pusaka Untuk Keluarga Nabi s.a.w: Fitnah Terhadap Abu Bakar r.a Berkaitan Tanah Fadak]

PENJELASAN

Ghanimah dan Fai’

Ghanimah ialah harta rampasan perang yang mana harta tersebut diperolehi setelah mengalahkan musuh dalam peperangan ya’ni harta tersebut diperolehi dengan pertumpahan darah.

Fai’ pula ialah harta yang diperolehi oleh orang Islam daripada orang kafir dalam peperangan dengan tidak berlaku pertumpahan darah.

Inilah yang Allah sebutkan dalam kitab-Nya iaitu berkenaan harta benda Bani an-Nadhir yang Rasulullah s.a.w ambil sebagai fai’ setelah mereka melarikan diri dari peperangan. Firman Allah:

وَمَا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ مِنْهُمْ فَمَا أَوْجَفْتُمْ عَلَيْهِ مِنْ خَيْلٍ وَلَا رِكَابٍ وَلَكِنَّ اللَّهَ يُسَلِّطُ رُسُلَهُ عَلَى مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Dan apa jua yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya sebagai fai’ daripada peninggalan harta benda mereka, kerana kamu tidak memecut seekor kuda pun dan tidak menunggang seekor unta pun (untuk berperang mengalahkan mereka); tetapi Allah memberikan kekuasaan kepada Rasul-rasul-Nya mengalahkan sesiapa yang dikehendakiNya (dengan tidak payah berperang) dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. [al-Hasyr : 6 ]

“KAMU TIDAK  memecut seekor kuda pun dan tidak menunggang seekor unta pun (untuk berperang mengalahkan mereka)”  ya’ni mendapatnya tanpa pertumpahan darah jelas menunjukkan sebagai harta fai`. Hasil daripada harta fai’ itu Nabi s.a.w mengambil buah tamarnya untuk simpanan selama setahun atau hasil dari buah tamar itu sama ada berbentuk duit atau lain-lain barang yang ditukarkan dengan tamar itu disimpan untuk setahun.

Dalil Daripada Hadith

Berhubung dengan kisah ini, Imam al-Bukhari ada menyebutkan beberapa hadith yang menceritakan kisah sebenar iaitu dalam kitab Sahihnya (Kitab Maghazi: Bab – Hadith Bani an-Nadhir)

حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ عُفَيْرٍ قَالَ حَدَّثَنِي اللَّيْثُ قَالَ حَدَّثَنِي عُقَيْلٌ عَنْ ابْنِ شِهَابٍ قَالَ أَخْبَرَنِي مَالِكُ بْنُ أَوْسِ بْنِ الْحَدَثَانِ وَكَانَ مُحَمَّدُ بْنُ جُبَيْرِ بْنِ مُطْعِمٍ ذَكَرَ لِي ذِكْرًا مِنْ حَدِيثِهِ فَانْطَلَقْتُ حَتَّى دَخَلْتُ عَلَى مَالِكِ بْنِ أَوْسٍ فَسَأَلْتُهُ

فَقَالَ مَالِكٌ انْطَلَقْتُ حَتَّى أَدْخُلَ عَلَى عُمَرَ إِذْ أَتَاهُ حَاجِبُهُ يَرْفَا فَقَالَ هَلْ لَكَ فِي عُثْمَانَ وَعَبْدِ الرَّحْمَنِ وَالزُّبَيْرِ وَسَعْدٍ يَسْتَأْذِنُونَ قَالَ نَعَمْ فَأَذِنَ لَهُمْ قَالَ فَدَخَلُوا وَسَلَّمُوا فَجَلَسُوا ثُمَّ لَبِثَ يَرْفَا قَلِيلًا فَقَالَ لِعُمَرَ هَلْ لَكَ فِي عَلِيٍّ وَعَبَّاسٍ قَالَ نَعَمْ فَأَذِنَ لَهُمَا فَلَمَّا دَخَلَا سَلَّمَا وَجَلَسَا فَقَالَ عَبَّاسٌ يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ اقْضِ بَيْنِي وَبَيْنَ هَذَا فَقَالَ الرَّهْطُ عُثْمَانُ وَأَصْحَابُهُ يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ اقْضِ بَيْنَهُمَا وَأَرِحْ أَحَدَهُمَا مِنْ الْآخَرِ

فَقَالَ عُمَرُ اتَّئِدُوا أَنْشُدُكُمْ بِاللَّهِ الَّذِي بِهِ تَقُومُ السَّمَاءُ وَالْأَرْضُ هَلْ تَعْلَمُونَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا نُورَثُ مَا تَرَكْنَا صَدَقَةٌ يُرِيدُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَفْسَهُ قَالَ الرَّهْطُ قَدْ قَالَ ذَلِكَ

فَأَقْبَلَ عُمَرُ عَلَى عَلِيٍّ وَعَبَّاسٍ فَقَالَ أَنْشُدُكُمَا بِاللَّهِ هَلْ تَعْلَمَانِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ذَلِكَ قَالَا قَدْ قَالَ ذَلِكَ قَالَ عُمَرُ فَإِنِّي أُحَدِّثُكُمْ عَنْ هَذَا الْأَمْرِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ قَدْ خَصَّ رَسُولَهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي هَذَا الْمَالِ بِشَيْءٍ لَمْ يُعْطِهِ أَحَدًا غَيْرَهُ

قَالَ اللَّهُ { مَا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ مِنْهُمْ فَمَا أَوْجَفْتُمْ عَلَيْهِ مِنْ خَيْلٍ إِلَى قَوْلِهِ قَدِيرٌ }

فَكَانَتْ هَذِهِ خَالِصَةً لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَاللَّهِ مَا احْتَازَهَا دُونَكُمْ وَلَا اسْتَأْثَرَ بِهَا عَلَيْكُمْ لَقَدْ أَعْطَاكُمُوهَا وَبَثَّهَا فِيكُمْ حَتَّى بَقِيَ مِنْهَا هَذَا الْمَالُ فَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُنْفِقُ عَلَى أَهْلِهِ نَفَقَةَ سَنَتِهِمْ مِنْ هَذَا الْمَالِ ثُمَّ يَأْخُذُ مَا بَقِيَ فَيَجْعَلُهُ مَجْعَلَ مَالِ اللَّهِ فَعَمِلَ بِذَلِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَيَاتَهُ

أَنْشُدُكُمْ بِاللَّهِ هَلْ تَعْلَمُونَ ذَلِكَ قَالُوا نَعَمْ قَالَ لِعَلِيٍّ وَعَبَّاسٍ أَنْشُدُكُمَا بِاللَّهِ هَلْ تَعْلَمَانِ ذَلِكَ قَالَا نَعَمْ

ثُمَّ تَوَفَّى اللَّهُ نَبِيَّهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ أَنَا وَلِيُّ رَسُولِ اللَّهِ فَقَبَضَهَا أَبُو بَكْرٍ يَعْمَلُ فِيهَا بِمَا عَمِلَ بِهِ فِيهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنْتُمَا حِينَئِذٍ وَأَقْبَلَ عَلَى عَلِيٍّ وَعَبَّاسٍ تَزْعُمَانِ أَنَّ أَبَا بَكْرٍ كَذَا وَكَذَا وَاللَّهُ يَعْلَمُ أَنَّهُ فِيهَا صَادِقٌ بَارٌّ رَاشِدٌ تَابِعٌ لِلْحَقِّ

ثُمَّ تَوَفَّى اللَّهُ أَبَا بَكْرٍ فَقُلْتُ أَنَا وَلِيُّ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبِي بَكْرٍ فَقَبَضْتُهَا سَنَتَيْنِ أَعْمَلُ فِيهَا بِمَا عَمِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبُو بَكْرٍ ثُمَّ جِئْتُمَانِي وَكَلِمَتُكُمَا وَاحِدَةٌ وَأَمْرُكُمَا جَمِيعٌ جِئْتَنِي تَسْأَلُنِي نَصِيبَكَ مِنْ ابْنِ أَخِيكَ وَأَتَى هَذَا يَسْأَلُنِي نَصِيبَ امْرَأَتِهِ مِنْ أَبِيهَا فَقُلْتُ إِنْ شِئْتُمَا دَفَعْتُهُ إِلَيْكُمَا عَلَى أَنَّ عَلَيْكُمَا عَهْدَ اللَّهِ وَمِيثَاقَهُ لَتَعْمَلَانِ فِيهَا بِمَا عَمِلَ بِهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَبِمَا عَمِلَ بِهِ فِيهَا أَبُو بَكْرٍ وَبِمَا عَمِلْتُ بِهِ فِيهَا مُنْذُ وُلِّيتُهَا وَإِلَّا فَلَا تُكَلِّمَانِي فِيهَا فَقُلْتُمَا ادْفَعْهَا إِلَيْنَا بِذَلِكَ فَدَفَعْتُهَا إِلَيْكُمَا بِذَلِكَ أَنْشُدُكُمْ بِاللَّهِ هَلْ دَفَعْتُهَا إِلَيْهِمَا بِذَلِكَ فَقَالَ الرَّهْطُ نَعَمْ

قَالَ فَأَقْبَلَ عَلَى عَلِيٍّ وَعَبَّاسٍ فَقَالَ أَنْشُدُكُمَا بِاللَّهِ هَلْ دَفَعْتُهَا إِلَيْكُمَا بِذَلِكَ قَالَا نَعَمْ قَالَ أَفَتَلْتَمِسَانِ مِنِّي قَضَاءً غَيْرَ ذَلِكَ فَوَالَّذِي بِإِذْنِهِ تَقُومُ السَّمَاءُ وَالْأَرْضُ لَا أَقْضِي فِيهَا قَضَاءً غَيْرَ ذَلِكَ حَتَّى تَقُومَ السَّاعَةُ فَإِنْ عَجَزْتُمَا عَنْهَا فَادْفَعَاهَا فَأَنَا أَكْفِيَكُمَاهَا

Sa`id bin `Ufair meriwayatkan kepada kami, katanya: al-Laits meriwayatkan kepadaku, katanya: Uqail meriwayatkan kepadaku daripada Ibnu Syihab, katanya: Malik bin `Aus bin al-Hadatsan telah menceritakan kepadaku, ketika itu Muhammad bin Jubair bin Mut’im telah pun menyebutkan kepadaku sedikit daripada hadithnya [1] itu lalu aku pun pergi sehingga aku masuk menemui Malik bin Aus al-Hadatsan lalu aku bertanya kepadanya tentang hadith itu

Lalu Malik pun berkata: “Aku masuk menemui ‘Umar. Selepas itu datanglah penjaga pintu rumahnya, namanya Yarfa`. Dia bertanya: “Mahukah Tuan berjumpa dengan Utsman, Abdul Rahman, Zubair dan Sa`ad (mereka meminta izin untuk bertemu dengan Tuan)?”. Dia menjawab: “Boleh. Izinkanlah”. Lalu Yarfa` mengizinkan mereka masuk. Kemudian (tidak lama selepas itu) Yarfa` (datang lagi dan) berkata: “Adakah Tuan mahu bertemu dengan ‘Ali dan ‘Abbas?” .’Umar menjawab: “Boleh.” (Setelah mereka duduk) ‘Abbas pun berkata: “Wahai Amiral Mukminin! Putuskanlah (Selesaikanlah) kes saya dengan dia ini”. Utsman pun berkata: “Wahai Amiral Mukminin! Elok benar tu, selesaikanlah biar tenang mereka berdua ni”.

`Umar pun berkata: “Bertenang (Nan ti dulu). (Sebelum aku buat keputusan) Aku mahu bertanya kepada kamu terlebih dahulu, dengan nama Allah yang mana dengan kebenaran-Nya dan keizinan-Nya tegak langit dan bumi ini, adakah kamu tahu bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda dahulu: “Kami tidak diwarisi, apa yang kami tinggalkan merupakan sedekah (untuk orang-orang Islam)”. Rasulullah s.a.w. maksudkan dirinya. Kumpulan itu pun berkata: “Memang, Baginda ada bersabda begitu [2]”.

Lalu ‘Umar pun berpaling menghadap ‘Ali dan ‘Abbas lalu dia berkata: “Aku mahu bertanya kepada kamu, dengan nama Allah yang mana dengan kebenaran-Nya dan keizinan-Nya tegak langit dan bumi ini, adakah kamu tahu bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda demikian?”. Mereka berdua pun menjawab: “Memang, Baginda ada bersabda begitu”. ‘Umar berkata: “Maka sesungguhnya aku ceritakan kamu tentang perkara ini. Sesungguhnya harta ini Allah khususkan untuk Rasul-Nya s.a.w, Allah tidak beri kepada sesiapa pun selainnya”.

Firman Allah: { مَا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ مِنْهُمْ فَمَا أَوْجَفْتُمْ عَلَيْهِ مِنْ خَيْلٍ } sehingga firman-Nya { قَدِيرٌ }] [3]

Harta ini adalah khusus untuk Rasulullah. Walau bagaimanapun, demi Allah! Nabi s.a.w. tidak memonopoli harta itu untuk peribadinya dengan mengabaikan kamu dan dia tidak mengambil harta itu semua sekali untuk kepentingannya dengan tidak menghiraukan kamu. Sesungguhnya dia telah beri kepada kamu terlebih dahulu. Dia taburkan di antara kamu harta itu sehingga tinggal sebahagian daripada harta itu. Kemudian daripada harta itu Rasulullah s.a.w memberi nafkah kepada ahli keluarganya dengan nafkah (perbelanjaan) untuk setahun. Kemudian Baginda jadikan yang selebihnya sebagai peruntukan untuk keperluan orang-orang Islam. Begitulah yang Rasulullah s.a.w amalkan sepanjang hayatnya.

Aku mahu bertanya kepada kamu, kamu tahukah perkara itu. Mereka menjawab: “Ya.” Selepas itu `Umar berpaling dan bertanya kepada ‘Ali dan ‘Abbas pula: “Kamu tahukah?”. Dia menjawab: “Ya”.

Selepas itu dia berkata: “Allah mewafatkan Nabinya s.a.w. Abu Bakar naik menggantikannya, dia berkata: “Aku pengganti  (wakil} Rasulullah”. Lalu Abu Bakar memegangnya [4] dan melakukan sepertimana yang Rasulullah s.a.w lakukan berhubung dengannya pada masa dahulu.

Kemudian dia berpaling mengadap ‘Ali dan ‘Abbas seraya berkata: “Kamu berdua pada ketika itu mengatakan Abu Bakar begini dan begini [5] sedangkan Allah mengetahui bahawa dia benar, baik dalam memimpin dan mengikuti kebenaran.

Kemudian Allah mewafatkan Aba Bakar dan aku naik menggantikannya, aku berkata: “Saya adalah pengganti (wakil) Rasulullah s.a.w dan Abi Bakar”, lalu aku pegangnya selama dua tahun dan aku lakukan padanya sepertimana Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar lakukan. Kemudian kamu datang. Perkara (Cerita) kamu berdua sama. Kamu datang mahu meminta bahagian kamu daripada anak saudaramu. Dan orang ini pula datang mahu meminta kepadaku bahagian isterinya daripada ayahnya [6]. Aku berkata: “Kalau kamu mahu aku boleh berikannya kepada kamu berdua tetapi dengan syarat dengan nama Allah sebagai perjanjian daripada Allah dan perteguhan daripada Allah s.w.t. kamu betul-betul akan lakukan sepertimana yang Rasulullah dan Abu Bakar s.a.w. lakukan dan juga seperti yang aku lakukan semenjak aku dilantik memegangnya [7] dan jika tidak [8] kamu jangan bercakap dengan aku berkenaannya. Kamu berdua berkata (dahulu): “Berikannya kepada kami dengan syarat itu [9]. Lalu aku berikannya kepada kamu berdua dengan syarat itu”. Aku mahu bertanya kamu berdua. Demi Allah! Adakah aku telah berikannya kepada mereka berdua ini dengan syarat itu dahulu? Semua menjawab: “Memang, begitulah”.

Perawi berkata: Kemudian ‘Umar berpaling mengadap ‘Ali dan ‘Abbas pula lalu berkata: “Aku mahu bertanya kepada kamu berdua. Demi Allah! Adakah aku telah berikannya kepada kamu berdua dengan syarat itu?”. Mereka berdua menjawab: “Memang, ya.” `Umar berkata lagi: “Adakah kamu mahu daripadaku keputusan yang lain selain daripada itu? Demi Tuhan yang dengan izin-Nya berdiri langit dan bumi! Aku tidak akan memutuskan berhubung dengannya keputusan selain daripada itu sehingga kiamat. Sekiranya kamu tidak mampu menguruskannya maka kamu kembalikanlah tanah itu kepadaku dan aku akan uruskan harta itu untuk kamu berdua”.

Apa Yang Boleh Difahami Daripada Hadith 

Dalam hadith ini juga jelas menunjukkan pengakuan daripada Sahabat-sahabat bahawa mereka tahu tentang hadith yang disebutkan oleh ‘Umar adalah bukti jelas menunjukkan hadith yang Abu Bakar sebutkan dahulu (dalam sebuah hadith tentang tuntutan tanah fadak oleh Fatimah) adalah mutawatir kerana hadith ini diakui, diketahui dan diriwayatkan oleh sekian ramai Sahabat.

Ini jelas menafikan dakwaan Khomeini La’natullah yang mengatakan ia adalah hadith palsu yang direka Saidina Abu Bakar kerana enggan memberikan tanah fada’ kepada Fatimah. Ini menyebabkan Fatimah enggan bercakap dengan Abu Bakar sehingga dia meninggal dunia dan pembongkaran tentang kepalsuan cerita ini telahpun didedahkan dalam artikel  bertajuk  Pusaka Untuk Keluarga Nabi s.a.w: Fitnah Terhadap Abu Bakar r.a Berkaitan Tanah Fadak]

Dalil Daripada al-Quran

Sekiranya diperhatikan dalam al-Quran sudah pun jelas menyatakan bahawa harta tersebut bukanlah milik peribadi Rasulullah dan keluarganya sahaja bahkan ia adalah fai’. Maka apabila dikatakan fai` sudah tentulah ia akan dibahagikan bukan sahaja kepada keluarga Rasulullah bahkan juga untuk orang-orang miskin, Ibnus Sabil (orang musafir yang putus bekalan) dan juga anak-anak yatim sepeti yang disebutkan dalam firman Allah ini:

مَا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَى فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ وَمَا آَتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya (Muhammad) berupa fai’, maka itu adalah hak Allah, dan Rasulullah (ya’ni untuk kepentingan ummat), dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang Yang melanggar perintah-Nya)”. [Al-Hasyr : 7]

Ayat ini menunjukkan pelbagai lapisan masyarakat dapat merasa harta fai’ ini tetapi berbeza sekiranya ia dijadikan pusaka, maka bertambah kayalah orang kaya yang mendapat pesaka.

Menurut kitab Syiah, Fatimah adalah orang kaya yang mempunyai 7 bidang tanah (kawasan). Pada masa itu pemilik beberapa bidang tanah adalah seperti jutawan pada zaman moden ini. Walaupun sudah kaya tetapi masih mahukan tanah tersebut sedangkan ayahandanya iaitu Rasululllah s.a.w sudah membahagikan harta-harta bukan sahaja kepada sanak saudaranya bahkan juga kepada anak-anak yatim, orang miskin dan ibnu sabil dan bukannya untuk keluarga Baginda sahaja.

Sekiranya kita teliti kisah-kisah seperti ini kita akan dapat lihat konsep “tabarra” atau unsur bara’ah ya’ni memburukkan peribadi ahlul bait secara tidak langsung. Sekali pandang kita dapat lihat golongan Syiah seperti bersimpati dan mahu membela Saidatina Fatimah dan mereka marah dengan orang yang melakukan penganiayaan terhadap Fatimah tetapi sekiranya diperhatikan dengan teliti ianya tidak bermaksud demikian. Seakan Saidatina Fatimah sangat tidak terdidik. Sedangkan Fatimah diajar hidup dalam keadaan yang lasak sehingga apabila Fatimah mahukan seorang hamba untuk membantu kerja-kerja rumahnya maka Rasulullah s.a.w enggan memberinya bahkan mengajarkannya dengan suatu yang lebih baik iaitu dengan bertasbih, bertahmid dan bertakbir. Begitu juga dengan ahli keluarga Nabi yang lain, apabila mereka memakai kalung atau gelang maka Rasulullah mengatakannya memakai api neraka sedangkan gelang dan kalung itu bukanlah daripada emas. Ini menunjukkan Rasulullah s.a.w sesekali tidak pernah mengajar keluarganya hidup dalam kemewahan  dan jauh sekali dari gilakan kebendaan  (materialistik).

Apa yang dapat diperhatikan daripada kisah ini adalah Fatimah begitu mahukan harta sedangkan apa perlunya sebidang tanah untuk seorang yang sudahpun jutawan. Syiah menghikayatkan kisah-kisah seakan-akan Fatimah adalah orang yang tamakkan harta, didikan yang gagal daripada Rasulullah.

Menurut Syiah lagi, selepas itu Fatimah marah pula apabila orang lain menceritakannya hadith daripada ayahnya sendiri iaitu Rasulullah hanya kerana sebidang tanah! Apakah sifat itu yang ada pada puteri didikan Baginda?

Kemudian mereka mengaitkannya dengan cerita Nabi Zakaria dalam satu ayat al-Quran iaitu ayat:

يَرِثُنِي وَيَرِثُ مِنْ آَلِ يَعْقُوبَ

Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub. [Maryam: 6]

Kononnya Nabi Zakaria memohon daripada Allah supaya dia mendapat zuriat yang akan mewarisi harta pusakanya dan bukan mewarisinya sahaja bahkan juga mewarisi keluarga Ya’qub. Nampaknya banyak benar harta Nabi Zakaria dan takut benar hartanya akan berpindah ke tangan orang lain!

Gambaran yang diberikan Syiah kepada nabi-nabi juga amat buruk seolah-olah nabi-nabi hanya seperti hartawan-hartawan lain yang sangat cintakan harta, kekayaan dan bimbangkan hartanya berpindah tangan apabila hampir dengan saat kematian. Di mana logik dan kemunasabahannya apabila seorang nabi bersungguh-sungguh memohon seorang zuriat untuk mewarisi harta kekayaannya?

Walhal ayat tersebut bermaksud Nabi Zakaria memohon zuriat supaya dapat mewarisi ilmu dan tugas kenabiannya ya’ni supaya dapat meneruskan lagi dakwah yang dilakukannya. Maka barulah timbul kemunasabahan dan logik seperti yang ditafsirkan oleh Ahlus Sunnah Wal-Jama’ah. Ini jelas sekiranya kita teliti sepenuhnya ayat tersebut:

يَرِثُنِي وَيَرِثُ مِنْ آَلِ يَعْقُوبَ وَاجْعَلْهُ رَبِّ رَضِيًّا

Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub; dan Jadikanlah Dia – Wahai Tuhanku seorang yang diredhai serta disukai”. [ Maryam : 6 ]

Dengan sebab itu Syeikh an-Nadwi menulis sebuah kitab, ‘Shuurataan Mutadhaddataan’ iaitu dua gambaran Islam yang bertentangan. Buku ini menyatakan fakta-fakta yang sekiranya kita melihat gambaran Islam dari kaca mata Ahlus Sunnah kita akan nampak Islam itu sangat indah dan menenangkan tetapi apabila kita lihat  Islam dari kaca mata Syiah maka kita akan dapati buruknya Islam, buruknya sifat nabi-nabi, gilakan harta termasuklah keluarga Rasulullah s.a.w!

Selain itu golongan Syiah begitu takut menerima kebenaran lantas membuat beberapa alasan:

  • Hadith ini rekaan Abu Bakar sahaja.
  • Syiah memang tidak menerima kitab Sahih al-Bukhari sebagai rujukan kerana mendakwa Sahih al-Bukhari sebagai rekaan Ahlus Sunnah dan lebih rela menerima riwayat hadit rekaan golongan Syiah sendiri iaitu al-Kulaini dalam al-Kafi.
  • Hadith ini merendahkan martabat Saidina ‘Ali kerana menunjukkan Saidina Abi Bakar lebih ‘alim dan lebih tahu daripada Saidina ‘Ali sedangkan hadith ini sebenarnya membicarakan tentang “mutawalli” iaitu hak untuk menguruskan harta dan tidak timbul siapa yang lebih ‘alim atau berilmu.
  • Hadith ini menggambarkan Fatimah tidak tahu tentang satu hadith sedangkan Syiah beri’tiqad bahawa Fatimah (dan juga imam-imam mereka yang lain) mengetahui perkara ghaib dan mengetahui semua perkara.

Perkara Sebenar

Suatu ketika sememangnya Fatimah tidak tahu bahawa tanah Fadak sebagai fai’ dan dia menyangkanya sebagai harta milik ayahnya iaitu Rasulullah s.a.w. lalu beliau pergi bertanya kepada Abu Bakar r.a. Abu Bakar menjelaskannya dengan lembut  dan berhemah sepertimana yang terdapat dalam hadith-hadith Sahih lain.  Abu Bakar menerangkan bahawa ia adalah tanah Fai` dan beliau menguruskan harta tersebut sebagaimana Rasulullah amalkan semasa hayatnya.  Setelah faham tentang kedudukan sebenar tanah Fadak maka Fatimah pun kembali dan tidak bertanya lagi tentang perkara itu. Itu sahaja yang terjadi tetapi malangnya ia kemudian ditokok tambah dan menjadi fitnah yang besar terhadap para Sahabat dan keluarga Nabi s.a.w.

Perkara seperti ini juga berlaku kepada ‘Ali dan ‘Abbas di mana ‘Umar menyebutkan mereka tidak berpuas hati dengan apa yang Abu Bakar lakukan disebabkan kedudukan tanah tersebut tidak jelas pada masa itu. Dengan sebab itu Saidina ‘Umar menceritakan kembali kisah tersebut untuk menyatakan benarnya Abu Bakar.  Perkara tersebut telah pun jelas semasa pemerintahan Saidina ‘Umar dan ‘Umar telah memberikan harta tersebut kepada mereka untuk diuruskan. Apa yang berlaku dalam hadith ini hanyalah masalah yang tidak dinyatakan dengan jelas sehingga ‘Umar menawarkan supaya mengembalikan urusan mutawalli ya’ni hak sebagai pengurus harta itu kepadanya.

Dakwaan Syiah

Abu Bakar dan ‘Umar tamakkan harta, dengan sebab itu mereka enggan menyerahkan tanah Fadak.

Jawapan

Tidak timbul isu tamakkan harta kerana hakikatnya anak kepada Saidina ‘Umar dan Abu Bakar juga adalah isteri-isteri Rasulullah yang berhak ke atas tanah Fadak tersebut. Ini menunjukkan mereka telah melakukan suatu yang betul.

Dalam riwayat-riwayat lain Saidina ‘Ali di zaman pemerintahannya juga tidak mengambil tanah Fadak. Ini menunjukkan Saidina ‘Ali menerimanya sebagai keputusan yang sah.

Wallahua`lam.

(Saringan Dari Kuliah Shahih Bukhari: Kitab Maghazi – Bab Hadith Bani an-Nadhir)

 

Sumber: http://sukahadis.blogspot.my/2011/01/kisah-sebenar-fatimah-dan-tuntutan.html 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s