HUKUM PERKAHWINAN ANTARA AHL AS-SUNNAH DENGAN SYIAH


[Muat Turun Artikel – Format PDF]

Oleh : Abu Naaielah

Mukaddimah

Perkahwinan dan keinginan untuk hidup berpasangan adalah merupakan fitrah manusia. Kerana itu Islam sebagai agama yang sentiasa menepati fitrah menuntut umatnya supaya memenuhi keperluan tersebut.

“Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda kepada kami: “Wahai para pemuda! Siapa yang mampu berkahwin dari kalangan kamu maka hendaklah dia berkahwin kerana ianya lebih menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana ia boleh menjadi perisai untuknya”. [Sahih al-Bukhari Kitab an-Nikah, Sahih Muslim Kitab an-Nikah]

Di samping itu Islam tidak lupa untuk memberikan panduan dalam memilih pasangan hidup. Antaranya:

“Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Nabi s.a.w, Baginda bersabda: “Wanita dikahwini kerana empat perkara. Kerana hartanya, kemuliaannya, kecantikannya dan kerana agamanya, maka pilihlah yang beragama (kalau kamu tidak pilih yang beragama) lekat tanah di tanganmu”. [Sahih al-Bukhari Kitab an-Nikah, Sahih Muslim Kitab ar-Radha’]

Antara maksud perkahwinan sebagaimana yang dikehendaki oleh agama ialah supaya bersatu, menjalin hubungan yang baik dengan penuh ketenangan dan memperolehi rahmat dengannya.

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan”. [Surah ar-Rum, Ayat 213]

Matlamat tersebut hanya boleh diperolehi daripada pasangan yang mempunyai kefahaman dan pegangan yang sama baik dalam kehidupan beragama dan sebagainya. Kerana itu agama Islam menetapkan pelbagai hukum perkahwinan yang bersesuaian dengan segala perkara berkaitan dengannya. Antaranya ketetapan hukum bahawa perkahwinan seseorang hanya sah bila ia memilih pasangan yang mempunyai fahaman agama yang sama. Jika tidak maka akan berlaku pelbagai kecelaruan dan masalah antara pasangan kerana berbeza fahaman agama, pandangan alam dan panduan yang lain dalam kehidupan. Ini kerana satu pihak menjadikan apa yang ditetapkan oleh Allah sebagai panduan dalam kehidupan terutamanya kehidupan berkeluarga, pendidikan anak-anak dan sebagainya tetapi pihak yang satu lagi tidak menerima ketetapan tersebut kerana menjadikan suatu yang lain sebagai sekutu Allah dalam menetapkan hukum dan panduan dalam kehidupan.

Bahkan al-Quran menetapkan bahawa lelaki yang baik hanya sesuai dengan perempuan yang baik sebagai pasangannya kerana akan berlaku keserasian antara kedua-duanya dalam mentaati Allah.

“(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik”. [Surah an-Nur,  Ayat 26]

Begitu juga jika berlaku kematian kepada salah satu pasangan itu maka akan berlaku kecelaruan berkenaan pengurusan pusaka kepada pewaris.

Hukum Perkahwinan Dengan Golongan Musyrik Dan Kafir

Al-Quran telah menjelaskan larangan berkahwin dengan golongan musyrik dan kafir sebagaimana firman Allah:

“Dan janganlah kamu berkahwin dengan wanita-wanita musyrik, sehinggalah mereka beriman. Sesungguhnya hamba perempuan yang beriman adalah lebih baik dari wanita merdeka yang musyrik, walaupun hati kamu tertarik dengannya. Dan janganlah kamu mengahwinkan lelaki-lelaki musyrik (dengan wanita-wanita mukmin) sehinggalah mereka beriman. Sesungguhnya hamba lelaki yang mukmin lebih baik dari orang musyrik walaupun dia menarik hatimu. Mereka mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke syurga dan ampunan dengan izin-Nya. Dan Allah menerangkan ayat-ayat-Nya (perintah-perintah-Nya) kepada manusia supaya mereka mengambil pelajaran”. [Surah Al-Baqarah, Ayat 221 ]

Dan firman-Nya, mafhumnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila orang-orang perempuan yang mengaku beriman datang berhijrah kepada kamu, maka ujilah (iman) mereka: Allah lebih mengetahui akan iman mereka: Dengan yang demikian, sekiranya kamu mengetahui bahawa mereka beriman, maka janganlah kamu mengembalikan mereka kepada orang-orang yang kafir. Mereka tidak halal bagi orang-orang kafir itu (sebagai isteri) dan orang-orang kafir itu pula tidak halal bagi mereka (sebagai suami) dan berilah kepada suami-suami (yang kafir) itu apa yang mereka telah belanjakan dan tidaklah menjadi salah kamu berkahwin dengan mereka (perempuan-perempuan yang berhijrah itu) apabila kamu memberi kepada mereka mas kahwinnya dan janganlah kamu (wahai orang-orang Islam) tetap berpegang kepada akad perkahwinan kamu dengan perempuan-perempuan yang (kekal dalam keadaan) kafir dan mintalah balik mas kahwin yang kamu telah berikan dan biarkanlah mereka (suami-suami yang kafir itu) meminta balik apa yang mereka telah belanjakan. Demikianlah hukum Allah; Dia hukumkan di antara kamu (dengan adil) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”. [Surah al-Mumtahanah, Ayat 10]

Dua ayat di atas jelas menunjukkan bahawa perkahwinan dengan orang-orang kafir dan musyrik adalah suatu yang dilarang oleh Allah dan haram di sisi Islam.

Golongan Musyrik

Syirik bermaksud menjadikan suatu yang lain sebagai sekutu atau setanding dengan Allah pada perkara-perkara yang merupakan hak Allah ta’ala sahaja sama ada dalam bab ibadat, memberikan kasih sayang, tunduk, mengagungkan, berdoa dan sebagainya. Orang musyrik ialah orang yang melakukan perbuatan sedemikian.

Di antara golongan yang termasuk dalam kelompok musyrik ialah golongan Syi’ah. Ini adalah berdasarkan kepada akidah-akidah mereka sebagaimana yang terdapat di dalam kitab-kitab mereka sendiri. Antaranya ialah Allah ta’ala mengatakan bahawa Dialah yang memiliki dunia sebagaimana firman-Nya:

“Sesungguhnya dunia ini adalah milik Allah. Dia boleh mewariskan kepada hamba-hamba-Nya yang dikehendaki-Nya dan akibat yang baik adalah untuk orang-orang yang bertaqwa”. [Surah al-A’raf, Ayat 128]

Tetapi golongan Syiah telah melakukan syirik kepada Allah ta’ala dengan memberikan sifat tersebut kepada Imam-imam mereka seperti di dalam riwayat di bawah:

“Daripada Abu Bashir daripada Abu Abdillah a.s. (Imam Ja’far as-Sadiq) katanya: “Tidakkah engkau (Abu Basir) tahu bahawa sesungguhnya dunia dan akhirat adalah kepunyaan Imam. Dia boleh meletakkannya di mana ia kehendaki dan memberikan kepada sesiapa yang dikehendakinya. Itu adalah satu kebenaran dari pihak Allah kepadanya”. [Usul al-Kafi jil. 1 hal. 409, Bab – Dunia Ini Semuanya Kepunyaan Imam]

Di antara sifat Allah ta’ala yang diberikan oleh Syi’ah kepada Imam-imam mereka ialah kekal dan tidak akan binasa sama sekali. Syeikh Saduq telah mengemukakan satu riwayat kononnya daripada Imam Jaa’far as-Sadiq yang berbunyi:

“Daripada Abu Abdillah (Jaa’far as-Sadiq) a.s. berkenaan firman Allah, “Segala sesuatu akan binasa kecuali wajah-Nya”. Beliau berkata: “Kamilah (wajah Allah itu)”. [At-Tauhid Syeikh Saqud, Bab Tafsir Firman Allah Ta’ala, “Segala Perkara Akan Binasa Kecuali Wajahnya”, hal. 151 ]

Syiah juga memberikan sifat Allah ta’ala iaitu mengetahui segala perkara termasuk perkara ghaib kepada Imam-imam mereka. Antara riwayat yang menjelaskan perkara tersebut ialah:

Mereka (perawi-perawi) mendengar Aba ‘Abdillah a.s. berkata: “Sesungguhnya aku mengetahui apa yang ada di langit-langit dan bumi dan aku mengetahui apa yang terdapat di dalam syurga serta apa yang terdapat di dalam neraka dan aku mengetahui segala yang telah berlaku dan akan berlaku”. Perawi berkata: “Kemudian dia diam seketika lalu mendapati perkara tersebut berat kepada orang yang mendengarnya lalu ia berkata: “Aku mengetahui perkara tersebut daripada kitab Allah ‘azzawajalla”. [Usul al-Kafi jil. 1 hal. 262]

Hukum perkahwinan antara Ahl As-Sunnah Wa Al-Jamaah dengan Syi’ah

Berdasarkan apa yang dikemukakan di atas menunjukkan bahawa perkahwinan dengan golongan musyrik adalah suatu yang dilarang oleh agama. Termasuk dalam golongan musyrik tersebut adalah golongan Syiah.

Kesimpulannya ialah:

· Perkahwinan dengan penganut Syiah adalah suatu yang dilarang oleh agama dan perkahwinan tersebut adalah suatu yang tidak sah di sisi agama.

· Sesiapa sahaja dari kalangan Ahl Sunnah yang telah melangsungkan perkahwinan dengan penganut Syiah sama ada dalam keadaan sedar atau tidak bahawa pasangannya itu adalah seorang Syiah maka perkahwinan itu dengan sendirinya terfasakh atau terbatal.

Sebagai penutup marilah kita merenung firman Allah ta’ala yang mempunyai kaitan dengan perkara yang dibincangkan.

“Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka ataupun keluarga mereka”. [ Surah al-Mujadalah, Ayat 22 ]

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi orang dalam (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu”.  Surah Ali ‘Imran, Ayat 118]

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s